Terdapat sebuah riwayat dari Hussain yang didengarnya dari Abdullah beliau berkata,"Berceritalah kepadaku seorang lelaki, kami telah keluar mengembara bersama satu rombongan dan diantara kami ada seorang telah mengeluarkan kata-kata kesat serta memaki hamun Abu Bakar as Sidik. Kami telah melarangnya tetapi ia tidak juga mahu menghentikan perbuatannya itu. Di tengah perjalanan kami berhenti seketika kerana terlau penat. Ada antara kami memanfaatkan masa itu dengan tidur, mengalas perut serta mencari air.
Sahabat yang mencaci Abu Bakar itu pergi agak jauh sedikit dari perkhemahan kami, mungkin ia sedang mencari tempat sesuai untuk qada hajat. Tiba-tiba kami serombongan dikejutkan oleh jeritan sahabat tadi. Dia menjerit sekuat hati meminta pertolongan. Kami ingat ia diserang oleh binatang buas lalu segera mendapatkannya. Rupa-rupanya ia bukan dikejar binatang buas tetapi telah diserang oleh lalat yang ganas. Keadaannya sama seperti bangkai yang dikerumuni oleh lalat hijau yang besar. Kami sedaya upaya cuba menyelamatkan sahabat kami itu tetapi lalat-lalat itu bukan seperti lalat yang biasanya yang pernah kita lihat. Segalanya jauh lebih sakit dari sengatan lebah. Kami sendiri pun terpaksa melarikan diri dari tempat itu. Setelah lalat itu pergi meninggalkan sahabat kami, kami pun pergi mendapatkannya. Apa yang kami lihat semua anggota tubuh badannya menjadi hampir-hampir putus."
Petikan Diari Islamiah 1997 - Perunding Budiman Ulama